8:57 PM

Amalan-Amalan Di Bulan Ramadhan

Bagaimana kita menyambut Ramadhan?


Ramadhan dianggap bulan termulia di dalam bulan-bulan Islam. Penurunan Al-Quran di dalam bulan Ramadhan menjadikan bulan ini sangat mulia lagi istimewa. Di dalamnya terdapat pelbagai fadilat yang harus dikejar oleh setiap umat Islam bagi mempertingkatkan kualiti keimanan dan ketaqwaan. Bulan Ramadhan juga dianggap sebagai Madrasah Kerohanian di mana pada bulan ini umat Islam diwajibkan berpuasa. Risalah kali ini akan memaparkan dua pesanan pilihan berkenaan cara kita menyambut Ramadhan.



Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa
sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang terdahulu daripada kamu,
moga-moga kamu bertaqwa. [al-Baqarah 2:183]


Di dalam bulan puasa seorang Islam dilatih mengawal diri daripada berlebih-lebihan, seperti mengawal diri daripada keinginan memuaskan syahwat (di siang hari). Mengawal diri juga memiliki banyak faedah baik dari aspek kesihatan maupun ke arah kerohanian. Di antara faedahnya adalah seorang Muslim akan merasai kelaparan yang dilalui oleh seorang Muslim lain yang tidak memiliki makan atau minum yang mencukupi sebagaimana yang dihadapi oleh saudara-saudara kita di Afrika.

Bulan Ramadhan adalah bulan yang diutamakan, Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menurunkan Al-Quran (dalam bulan ini) dengan firmannya:

Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia,
dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan
antara yang benar dengan yang salah. [al-Baqarah 2:185]


Di dalam bulan Ramadhan terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu malam sebagaimana firman-Nya:

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?
Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. [al-Qadr 97:1-3]


Selain itu diampunkan dosa-dosa yang lepas bagi mereka yang berpuasa dengan penuh iman dan azam. Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh
Allah mengampun dosa-dosanya yang telah lalu, dan barangsiapa yang bersolat pada malam Lailatul Qadar
dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh, Allah mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.[2] [Shahih Muslim – hadis no: 760]


Kewajipan berpuasa (juga mengajar kita) menjaga diri daripada perbuatan mengumpat (ghibah), mengadu, berbohong dan mendengar perkara-perkara hiburan. Ia mencegah kita daripada melakukan semua keburukan kepada memperbanyakkan membaca Al-Quran, berzikir kepada Allah, bersedekah dan bersungguh-sungguh di dalam melakukan amal ibadat khusus pada 10 terakhir bulan Ramadhan.



Terdapat beberapa adab yang perlu diperhatikan dalam bulan Ramadhan. Adab-adab tersebut adalah:

Pertama:
Sabar ke atas musibah dan kecaman yang menimpa. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam  mengajar kita bahawa pada hari Ramadhan, jika seseorang menyakitkan hati atau mencela kita maka katakanlah: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa... sesungguhnya aku sedang berpuasa.”[4]

Kedua:
Digalakkan bertaqwa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana Ramadhan merupakan bulan ketaqwaan sebagai
mana firman-Nya:

Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan keatas kamu berpuasa
sebagaimana diwajibkan keatas orang yang terdahulu daripada kamu moga-moga kamu bertaqwa.
[al-Baqarah 2:183]

Ketiga:
Menjaga diri daripada mengumpat dan mengadu domba (gossip) kerana ia adalah perbuatan yang diharamkan secara mutlak sama ada di dalam bulan Ramadhan atau selain Ramadhan, akan tetapi pengharamannya diberi penekanan yang lebih jelas dalam Ramadhan.[5]

Keempat:
Sentiasa mengingati amalan agama, hal-ehwal sesama Islam dan membantu sesama Muslim menyelesaikan masalah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Sesiapa yang tidak memikirkan urusan umat Islam maka tidaklah dia termasuk golongan mereka.[6]

Kelima:
Dalam bulan yang mulia ini dianjurkan mengambil tahu hal ehwal keluarga kerana mereka itu adalah amanah dan bebanan (tanggung-jawab) kita sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka
yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu. [al-Tahrim 66:06]

Selain itu saya menasihatkan diri saya dan semua saudara-saudara Islam agar dimanfaatkan bulan Ramadhan dengan amalan-amalan yang baik berikut:
  1. Menjaga solat berjemaah bagi lelaki di masjid, dan bagi wanita pula menunaikan solat Jumaat dan menghadiri majlis ilmu.

  2. Menghadiri solat tarawih khasnya bagi lelaki dan tiada larangan bagi kehadiran wanita (di masjid) jika mereka ingin melakukan solat dan kepada mereka terdapat ganjaran.

  3. Memelihara solat malam (qiamullail) dan tahajud setelah pertengahan malam bagi lelaki dan wanita yang berkemampuan di dalam rumah.

  4. Beriktikaf untuk beberapa malam di bulan Ramadhan di masjid bagi lelaki tanpa menyebabkan gangguan di dalam kewajipan seharian khususnya bagi mereka yang mencari rezeki.[7]

  5. Memelihara pembacaan Al-Quran dan menggunakannya sebagai zikir harian. Pembacaan Al-Quran sekurang-kurangnya hendaklah setiap hari sehinggalah tamat keseluruhannya.

  6. Memperbanyakkan sedekah dan mengeluarkan zakat kepada orang-orang fakir, miskin, orang yang memerlukan, mereka yang berjihad di jalan Allah dan sumbangan kepada projek yang baik bagi kegunaan orang Islam seperti pembaikan masjid, pusat rawatan orang-orang tua, sekolah-sekolah dan lain-lainnya.

  7. Merapatkan silaturahim dan memperbanyakkan ziarah di dalam bulan Ramadhan.

  8. Dilarang melakukan kejahatan dan keburukan terhadap orang Islam secara umum dan jiran-jiran secara khusus. Pesan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
Seorang muslim ialah orang yang selamat lidah dan tangannya terhadap muslim yang lain.[8]



[1]               Majmu' al-Fatawa (http://www.binbaz.org.sa/Display.asp?f=Bz00239.htm)
[2]               Shahih Muslim – hadis no: 760 (Kitab Solat musafir dan qasar, Bab Anjuran qiyam Ramadhan)
[3]               Adab didalam Bulan Ramadhan. Live Fatwa (31-10-2002) IslamOnline, 2002.
(http://www.islamonline.net/livefatwa/arabic/Browse.asp?hGuestID=8I3Ww6)
[4]               Rujuk Shahih al-Bukhari – hadis no: 1904 (Kitab Puasa, Bab Mengatakan “Aku berpuasa” apabila dicela)
[5]               Ini berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
لَيْسَ الصِّيَامُ مِنَ الأَكْلِ وَالشُّرْبِ، إِنَّمَا الصَّيَامُ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ.



[6]               Rujuk al-Mu’jam al-Ausath oleh al-Thabarani, hadis no: 7473. Penyemak kitab ini, Shaikh Mahmud Hasan Ismail menilai sanadnya sebagai bertaraf hasan.
[7]               Maksudnya tidak disyorkan berjaga di malam hari sehingga menyebabkan seseorang itu mengantuk dan tidak dapat menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya pada esok hari.
[8]               Rujuk Shahih Muslim – hadis no: 41 (Kitab Iman).



0 comments: